Friday, February 13, 2009

LATAR BELAKANG MADU LEBAH

Madu lebah  sudah dikenali  sejak  zaman Firaun  yang  memerintah  Mesir pada  tahun 300 sebelum Masihi hingga ke tamadun Parsi, Greek dan Rom, sebagai  satu cara  penjagaan  kesihatan. Menurut sejarah Islam, penggunaan  madu  lebah  dalam  perubatan  sangat masyhur dan  bertepatan  dengan Firman Allah dalam ayat 68 hingga 69 surah An-Nahl yang bermaksud; madu itu penawar (Syifa) bagi manusia.
Di Eropah,  ada kesatuan diberi nama Apitheraphy, diasaskan oleh Profesor Bernard Descottes, Perancis yang menggunakan produk madu lebah bagi penjagaan kesihatan. Di Timur Tengah, masyarakat Arab tidak dapat dipisahkan dengan pengambilan madu lebah sebagai minuman kesihatan harian dan bagi masyarakat Cina, amalan memberi madu lebah kepada anak sejak kecil sudah lama dipraktikkan.
Dalam persekitaran masyarakat berteknologi tinggi dan sentiasa sibuk sekarang, keperluan kepada makanan seimbang dan selamat adalah penting,  malangnya kebanyakan pihak mengabaikan keperluan itu dengan mengambil jalan mudah dengan hanya bergantung kepada makanan dan minuman segera yang kurang berkhiasiat. Oleh itu, madu disyorkan menjadi makanan tambahan kepada kita disebabkan khasiatnya yang tidak ternilai.

KHASIAT MADU MENURUT AL-QUR'AN DAN HADIS
Selaras dengan perkembangan dunia yang semakin canggih, dunia perubatan juga semakin maju berbanding dengan cara perubatan dahulu. Oleh itu rawatan-rawatan tertumpu kepada cara moden di hospital-hospital yang cukup dengan segala kemudahan dan kepakaran. Namun begitu berubat mengikut saranan al-Qur'an dan hadis masih tetap mengambil tempat di dalam kehidupan masyarakat Islam.
Menurut Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam setiap penyakit itu pasti ada ubatnya. Sabda Baginda :
Maksudnya : "Berubatlah, maka sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit kecuali Allah menyediakan baginya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua"
( Hadis riwayat Abu Daud)
Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam al-Quran sendiri telah menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, maupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.

Firman Allah dalam surah an-Nahl: 
Tafsirnya: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan."
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Qur'an, Baginda bersabda:
Maksudnya: "Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur'an."
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Daripada hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi dan vitamin yang kuat. Di samping itu madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.
Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan setiap hari akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup.
Di samping itu madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan pagi agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian. Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera, sepertimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga mengamalkannya. Diperkuatkan dengan hadis baginda yang berbunyi:
Maksudnya: "Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: "Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."
 
Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika diusapkan madu akan dapat mengurangi rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kawasan yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak damit yang baru lahir.
Dalam al-Qur'an, hadis-hadis yang disebutkan dan amalan perubatan tradisional, madu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adalah menjadi suatu amalan yang baik menjadikan madu sebagai ubat dan penjagaan kesihatan.